Wednesday 8 June 2011

Atasi punca gejala sosial bersama pokok


 “Malam ini mereka pasti tidur sama-sama, kan?” berkata Tini, seorang kanak-kanak awal remaja berumur 12 tahun ketika melihat pengantin lelaki dan perempuan di atas pelamin ketika berada di majlis perkahwinan sepupu saya. Apakah yang difikirkan oleh sang remaja tersebut ketika itu? Saya biarkan pembaca menilainya.

Mutakhir ini banyak tajuk dan isi akhbar memaparkan masalah sosial. Yang terkini murid berumur 9 tahun dirogol oleh seorang lelaki dalam tandas di sebuah majlis perkahwinan. Minggu lepas pula memaparkan tiga kes berasingan pembuangan bayi di sekitar Lembah Klang. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim membongkar bahawa sebanyak 60 peratus gadis hilang dara menjelang umur 18 tahun, dalam satu soal selidik yang membabitkan 2, 800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan di sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com. Tambahan daripada hasil kajian itu juga mendapati bahawa 24 peratus daripada mereka mengaku pernah melakukan seks dengan lima kekasih. Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merekodkan purata pasangan Islam bercerai pada 2009 adalah setiap 15 minit.

Masalah sosial meningkat beriringan dengan kemajuan negara. Punca atau factor masalah sosial juga semakin bertambah. Antara kepelbagaian yang biasa dibincangkan oleh masyarakat adalah sistem pendidikan di rumah sehinggalah kepada pendidikan Negara, persekitaran yang tidak menepati syariat yang diwujudkan oleh pemimpin Negara, media dan teknologi dalam arus globalisasi dan kebanjiran pekerja asing. Namun, suatu persoalan yang selalu kita lupa iaitu,

“apakah faktor utama atau ibu kepada punca masalah sosial ini?”
 
Teringat saya kepada kata-kata seorang penulis best seller, Pak Wisnu Sasongko atau nama penanya Muhammad Alexander, ketika ditanya tentang persoalan agenda Yahudi Zionis,  apa yang menyebabkan kita terpengaruh adalah kerana amalan kita yang lemah. Berbalik semula tentang punca masalah sosial, saya suka membuat perumpamaan bahawa akar sebuah pokok yang kurang dibaja dan disiram air bisa menghasilkan batang pokok yang kurang daya tahan penyakit dan seterusnya menghasilkan buah dan daun yang berpenyakit. Perumpamaan ini, saya kaitkan dengan akar pokok tersebut sebagai keimanan kepada Allah, manakala batang pokok itu pula adalah amalan ibadat dan buah serta daun adalah hasil keimanan dan amalan ibadah seorang muslim iaitu akhlak. 


Masalah sosial boleh disamakan juga dengan keruntuhan akhlak. Saya ingin membawa pembaca sekalian berfikir kembali kepada hak penciptaan manusia. Hakikatnya manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran, ayat ke-56 dalam surah adz-Zariat,

 “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”

dan menjadi khalifah seperti dalam ayat ke-30 surah al-Baqarah, iaitu,

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

 Hakikatnya, manusia mudah lupa. Lupalah sekalian kita semua tentang hak penciptaan kita ini dan terus keimanan kita kepada Allah semakin berkurangan. Akidah kita iaitu pegangan kita agar meletakkan Allah adalah sebagai yang utama dalam setiap dasar keyakinan, percakapan dan perbuatan kita, semakin menurun. Dengan sedemikian, amalan ibadah kita juga seperti pesakit yang masih hidup tapi kelihatan mati. Iman yang longgar menghasilkan amalan ibadah yang nyawa-nyawa ikan. Golongan ini hanya melakukan ibadah seperti solat dan puasa tanpa mampu menjadikan ibadah tersebut sebagai roh benteng pertahanan diri daripada melakukan maksiat.

Sedemikian itu, secara khusus punca masalah ini adalah keimanan seseorang. Seseorang yang ingin saya bicarakan di sini adalah seseorang itu sebagai pemimpin Negara, pemimpin NGO, pemimpin di mana-mana tempat kerja mahupun organisasi keluarga. Masalah sosial di Negara kita yang menuju status maju ini, bukan hanya seawal kanak-kanak berusia 9 tahun, malah sehingga peringkat datuk berusia 60-an juga terjebak dalam kancah kebejatan akhlak ini. Andai seorang datuk punya keimanan yang kuat, pengaruh teknologi yang kurang diterokainya, namun pancainderanya masih berfungsi dengan baik, tentu datuk berumur sedemikian tidak akan terlibat dalam masalah sosial. Namun, berita yang dipaparkan di media membuktikan bahawa datuk seusia sedemikian juga terlibat dengan kes rogol dan khalwat. 

Namun yang sedemikian, teknologi dan media juga adalah antara punca besar masalah sosial ini. Kita sedia maklum, arus globalisasi adalah ibarat sungai yang terus menerus mengalir tanpa mampu disekat. Arus ini mampu dibenteng hanya dengan meletakkan Allah sebagai yang utama dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Keimanan yang utuh kepada Allah mampu melindungi diri dari terjebak dengan sebarang kebejatan sosial walaupun arus pemodenan terus meningkat.

Kesimpulannya, penyelesaian masalah gejala sosial ini tentu sahaja memerlukan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama menyelesaikannya. Semuanya bergantung kepada usaha dan peranan saya dan kalian yang menjadi pemimpin dan keahlian di mana-mana organisasi berlandaskan keimanan dan amalan yang kuat kepada Allah. Hakikatnya akar pokok yang sihat adalah akar pokok yang dibaja dan disiram mengikut keperluan dan mampu memberikan batang pokok yang punya daya tahan penyakit dan akhirnya menghasilkan daun dan buah yang ranum dan berguna buat makhluk lain.

TAJUK AKHBAR MUTAKHIR INI:

2.      Perlu akui hakikat

No comments:

Post a Comment

Teman, komenlah nota ini. Komen agar Munirah sedar!