Saturday 20 August 2011

SELAMAT HARI LAHIR, MUNIRAH!

Selamat Hari Tua buat saya. 

Semoga Allah merahmati saya. 

Semga Allah membimbing saya. 

Semoga Allah sayang pada saya.


Ya Allah, sesungguhnya aku sang fakir miskin di sisi-Mu. 

Ya Rahim, aku takut pada-Mu. Dosaku menggunung.

Aku tidak tahu adakah Engkau maafkan aku. 

Aku mohon penuh pengharapan. Maafkan aku. Kasihkan aku. Sayangi aku, Tuhan. Sayangilah aku.

Tuesday 14 June 2011

Rawat rambut gugur ikut syeikh sufi

15/6/2011 13:12

Dengan nama Allah Yang Maha Penyembuh dan Maha Pemberi Rezeki



Syeikh-syeikh sufi banyak memberi nasihat tentang bentuk diet untuk memperbaiki ketidakseimbangan badan (yang ringan). Mereka banyak menyelaraskan penggunaan pelbagai herba dan rempah ratus dan menghasilkan pelbagai rumusan atau formula.




Hmm... jadi hari ini saya ingin berkongsi tentang rawatan rambut gugur yang selalu dihadapi oleh kaum wanita. Kita sedari rambut adalah mahkota utama buat para wanita. Untuk mendapatkan rambut yang berseri, lembut, halus, tiada buah, tidak mudah gugur, tentu sahaja memerlukan penjagaan yang rapi. Di pasaran, terdapat pelbagai produk yang berjenama popular, namun sedarkah kita bahawa mereka banyak menggunakan bahan kimia.

Jadi, saya ingin berkongsi perubatan alternatif yang boleh digunakan untuk khusus mengawal keguguran rambut dan menjadikan rambut lebih kuat!

Formulanya:


Bahan yang diperlukan: 


2 cawan akar pokok ara (fig tree)




1 quart* minyak kelapa atau minyak zaitun

Cara penyediaan:
1. Keringkan (jangan dijemur) akar pokok ara selama 3 hari.
2. Kemudian tumbuk dan rendamkan dalam minyak selama 15 hari.
3. Tapis dan simpan di dalam botol.

Cara penggunaan:
Urutkan pada kulit kepala semasa hendak masuk tidur. Biarkan semalaman.

Mudahkan? Namun, untuk mendapatkan akar pokok ara itu mungkin agak susah. Saya berusaha mencarinya dan sekarang dalam proses menempah.

Jika ada yang berminat, boleh tinggalkan komen di sini.

***
BERAT DAN UKURAN
1 quart = 2 pain
1pain = 2 cawan
1 cawan = 8 auns cecair

Monday 13 June 2011

Singkir toksin dengan buah!

13 Jun 2011 15:45

Dengan nama Allah Yang Maha Pemberi Rezeki

Cara tebaik untuk tujuan ini adalah dengan tidak memakan apa-apa selain daripada buah-buahan sehingga waktu tengahari. Sehingga waktu tengahari tersebut, badan kita sebenarnya masih sibuk dengan proses membersihkan tubuh badan kita daripada toksin sejak malam semalam.


 Maka tidak hairanlah kenapa ramai orang, terutamanya orang Eropah, yang suka memulakan hari mereka dengan meminum jus oren segar di awal pagi!

Saya pula suka oren (1 1/2 biji) + epal hijau (1 biji) di'blend' bersama! Huh...

Saturday 11 June 2011

KENAPA MALAS?

11/6/2011 17:16

Dengan nama Allah Yang maha Kuasa.

ARGH!!!! Tiba-tiba saya ingin menjerit. Apakah yang berlaku kepada saya? Saya mencari punca kelemahan-kelemahan saya. Hakikatnya saya lupa hadith motivasi ini:

“Daripada Aisyah r.a, Nabi S.A.W bersabda : wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesunggunya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
–riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ya, punca kemalasan saya adalah tiada motivasi untuk istiqamah dalam setiap perkara yang saya lakukan dan ibu punca kemalasan saya ini adalah tiada motivasi untuk paksa diri. 

Ya, paksa diri!

Itulah kuncinya dalam mencari punca utama kemalasan saya. Saya terlalu melembutkan diri sehingga tidak mahu untuk memaksa diri saya agar istiqamah dalam setiap perkara yang baik.

Well, itu semua adalah teori semata-mata! Selagi saya tidak memaksa diri untuk mengatasi malas, saya tetap tidak akan berjaya untuk mengatasi malas ini. Jadi, saya harus senaraikan APA YANG SAYA MALAS?

Ya, APAKAH PERKARA YANG SAYA SUKA MALAS DAN SELALU MEMBERI ALASAN?

Ruang lingkup malas beribadah.

1. Malas sembahyang awal dan berjemaah.


Alasan malas: Takpa, masa ada banyak lagi.

2. Malas puasa sunat.


Alasan malas: Esok nak pergi sana, nak pergi situ. Kalau puasa, takut tak larat.

3. Malas bangun qiam.



Alasan malas: Malam tadi tidur lewat. Lain kalilah bangun qiam. Ataupun, tak sedar lansung bunyi jam atau orang panggil kerana letih sangat berprogram dan malam tadi tidur lewat.

4. Malas baca Quran.


Alasan malas: Kejap lagilah baca.

5. Malas pergi kuliah ilmu.


Alasan malas: Jauh... Kalau yang dekat, baca buku pun boleh. Lagipun mungkin mengantuk kerana rasa letih.


Ruang lingkup malas belajar. 


6. Malas pergi kelas.


Alasan malas: Takpa, kelas boleh ponteng sehingga 20 peratus jumlah jam kredit.



7. Malas buat revision.

 
Alasan malas: Takpa, esok pun boleh.


8. Malas buat assigment.


Alasan malas: Takpa, nantilah esok.

Ruang lingkup malas bergerak kerja. 


9. Malas pergi meeting.


Alasan malas: Buat apa pergi meeting, kalau buat sakit hati ajer. Kalau aku bagi pendapat pun, bukannya mereka nak dengar. Mereka tahu nak menang sahaja!



10. Malas jadi AJK program atau memegang amanah sesuatu organisasi.

Alasan malas: Semester ni saya banyak kredit lah. Ada 3 subjek berat. Jika tidak pun, alasan lain, saya buat projek akhir tahun sem ni. Takut tak sempatlah. Ataupun saya ada masalah peribadi. Saya rasa tak mampu untuk uruskan program ini.



11. Malas nak buat usrah.


Alasan malas: Ada banyak program lah... Tak sempatlah. Ataupun, saya tak pandailah, lagipun saya bukannya 'alim dan baik sangat.



 Ruang lingkup malas dalam kehidupan harian.

12. Malas basuh baju.


Alasan malas: Nati hujung minggulah. Bila tiba hujung minggu, alamak, ada program lah... Nanti hari ahad malam lah basuh.

13. Malas kemas bilik dan rumah.


Alasan malam: Rilexlah... inikan rumah bujang. Takper, orang lain faham.

14. Malas memasak.


Alasan malas: Bukan turn aku masak hari ni. Lagipun beli sedap juga, walaupun ada MSG. Tapi... alah biarkan ajelah.



UISH!!!

BANYAKNYA!!!

Jadi, inilah masanya untuk merevolusikan diri!






Demi memastikan diri sentiasa tahu bahawa SAYA HARUS MENTARBIAH DIRI!





Kesimpulannya, saya harus melangkah gagah ke alam tarbiah diri dengan cara memaksa diri dalam proses revolusi diri untuk ladang masa depan seterusnya kehidupan akhirat.



Munirah, semoga berjaya!

Anugerah kesedaran

11/6/2011 12:48

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih.

Beberapa hari ini saya disedarkan Allah tentang kelemahan diri.


Betapa saya alpa, mungkin juga gah untuk hidup, kononnya untuk bergerak kerja dan berjuang demi agama.

Padahal saya hanya bercakap, namun dari segi perbuatan dan kesungguhan hati TIADA!

Saya mula sedar hakikat diri harus kenali diri, siapakah saya?

Saya yang harus dikenali bukan sekadar yang bernama Munirah, namun hakikatnya sifat saya punya banyak kelemahan.

Rupa-rupanya saya...


MALAS


MINDA LEMAH


SUKA MENANGGUHKAN KERJA

Dan akhirnya saya sedar diri mengapa saya  mudah untuk dibenci, dimarahi atau digerami oleh sahabat-sahabat, rakan-rakan mahupun pensyarah-pensyarah, seperti wajah lelaki ini: 


Namun, ada sesuatu lagi yang menjadi kelemahan yang sangat ketara, namun saya tidak sedar, sehinggalah datang seorang hamba Allah yang saya tidak pernah kenal sebelum ini, memberitahu pada pertemuan pertama kali:

"Munirah, kamu seorang yang mudah percayakan orang, tapi kamu kurang keyakinan. YOU LESS CONFIDENT!"



Ya, rupa-rupanya sikap saya selama ini adalah kurang keyakinan menyebabkan kata-saya saya yang keluar juga berbau kurang menyenangkan.

"Ya Allah, Kau memahamiku. Pengalaman ngeri menghantuiku sehinggalah hari ini."



Pause.


Penyakit-penyakit kelemahan ini menyebabkan gerak kerja dakwah saya bermasalah, hal peribadi saya juga bermasalah dan usah dikata hal akademik lagi bermasalah!

Pepatah menyatakan ANDA ADALAH APA YANG ANDA FIKIRKAN.

Maka, saya harus berusaha untuk menangani empat (4) kelemahan diri ini. Sebagai muslim, saya tidak mahu untuk jatuh ke lubang yang sama untuk dua (2) kali. Cukuplah di sini!

"Terima kasih, Allah, kerana memberi saya peringatan ini dengan pelbagai cara."  

Sesungguhnya Allah benar-benar memahami dan menyayangi saya. Sememangnya saya mohon kepada Allah untuk memperbaiki keburukan yang ada pada saya sebelum ini. Saya mengharapkan Allah mengindahkan akhlak saya. Ya, saya sangat berharap!


Dan saya tahu Allah mendengarnya. 

"Terima kasih, Allah, untuk anugerah kesedaran ini."



Thursday 9 June 2011

lemahnya diri


Ya Allah...
padaMu tempat ku memohon
padaMu tempatku mengadu
padaMu tempat ku berlabuh


aku tersedar
hakikat penciptaanku
aku mula sedar
namun aku tiada kekuatan
aku tiada kekuatan untuk mengubatinya

aku mohon padaMu Tuhan
bantulah aku
kelemahan ini hak penciptaanMu
aku perlu ubatinya
ya, aku perlu ubatinya
Maka, Tuhan, bantulah aku
kuatkanlah aku...

Wednesday 8 June 2011

Atasi punca gejala sosial bersama pokok


 “Malam ini mereka pasti tidur sama-sama, kan?” berkata Tini, seorang kanak-kanak awal remaja berumur 12 tahun ketika melihat pengantin lelaki dan perempuan di atas pelamin ketika berada di majlis perkahwinan sepupu saya. Apakah yang difikirkan oleh sang remaja tersebut ketika itu? Saya biarkan pembaca menilainya.

Mutakhir ini banyak tajuk dan isi akhbar memaparkan masalah sosial. Yang terkini murid berumur 9 tahun dirogol oleh seorang lelaki dalam tandas di sebuah majlis perkahwinan. Minggu lepas pula memaparkan tiga kes berasingan pembuangan bayi di sekitar Lembah Klang. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim membongkar bahawa sebanyak 60 peratus gadis hilang dara menjelang umur 18 tahun, dalam satu soal selidik yang membabitkan 2, 800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan di sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com. Tambahan daripada hasil kajian itu juga mendapati bahawa 24 peratus daripada mereka mengaku pernah melakukan seks dengan lima kekasih. Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merekodkan purata pasangan Islam bercerai pada 2009 adalah setiap 15 minit.

Masalah sosial meningkat beriringan dengan kemajuan negara. Punca atau factor masalah sosial juga semakin bertambah. Antara kepelbagaian yang biasa dibincangkan oleh masyarakat adalah sistem pendidikan di rumah sehinggalah kepada pendidikan Negara, persekitaran yang tidak menepati syariat yang diwujudkan oleh pemimpin Negara, media dan teknologi dalam arus globalisasi dan kebanjiran pekerja asing. Namun, suatu persoalan yang selalu kita lupa iaitu,

“apakah faktor utama atau ibu kepada punca masalah sosial ini?”
 
Teringat saya kepada kata-kata seorang penulis best seller, Pak Wisnu Sasongko atau nama penanya Muhammad Alexander, ketika ditanya tentang persoalan agenda Yahudi Zionis,  apa yang menyebabkan kita terpengaruh adalah kerana amalan kita yang lemah. Berbalik semula tentang punca masalah sosial, saya suka membuat perumpamaan bahawa akar sebuah pokok yang kurang dibaja dan disiram air bisa menghasilkan batang pokok yang kurang daya tahan penyakit dan seterusnya menghasilkan buah dan daun yang berpenyakit. Perumpamaan ini, saya kaitkan dengan akar pokok tersebut sebagai keimanan kepada Allah, manakala batang pokok itu pula adalah amalan ibadat dan buah serta daun adalah hasil keimanan dan amalan ibadah seorang muslim iaitu akhlak. 


Masalah sosial boleh disamakan juga dengan keruntuhan akhlak. Saya ingin membawa pembaca sekalian berfikir kembali kepada hak penciptaan manusia. Hakikatnya manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran, ayat ke-56 dalam surah adz-Zariat,

 “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”

dan menjadi khalifah seperti dalam ayat ke-30 surah al-Baqarah, iaitu,

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

 Hakikatnya, manusia mudah lupa. Lupalah sekalian kita semua tentang hak penciptaan kita ini dan terus keimanan kita kepada Allah semakin berkurangan. Akidah kita iaitu pegangan kita agar meletakkan Allah adalah sebagai yang utama dalam setiap dasar keyakinan, percakapan dan perbuatan kita, semakin menurun. Dengan sedemikian, amalan ibadah kita juga seperti pesakit yang masih hidup tapi kelihatan mati. Iman yang longgar menghasilkan amalan ibadah yang nyawa-nyawa ikan. Golongan ini hanya melakukan ibadah seperti solat dan puasa tanpa mampu menjadikan ibadah tersebut sebagai roh benteng pertahanan diri daripada melakukan maksiat.

Sedemikian itu, secara khusus punca masalah ini adalah keimanan seseorang. Seseorang yang ingin saya bicarakan di sini adalah seseorang itu sebagai pemimpin Negara, pemimpin NGO, pemimpin di mana-mana tempat kerja mahupun organisasi keluarga. Masalah sosial di Negara kita yang menuju status maju ini, bukan hanya seawal kanak-kanak berusia 9 tahun, malah sehingga peringkat datuk berusia 60-an juga terjebak dalam kancah kebejatan akhlak ini. Andai seorang datuk punya keimanan yang kuat, pengaruh teknologi yang kurang diterokainya, namun pancainderanya masih berfungsi dengan baik, tentu datuk berumur sedemikian tidak akan terlibat dalam masalah sosial. Namun, berita yang dipaparkan di media membuktikan bahawa datuk seusia sedemikian juga terlibat dengan kes rogol dan khalwat. 

Namun yang sedemikian, teknologi dan media juga adalah antara punca besar masalah sosial ini. Kita sedia maklum, arus globalisasi adalah ibarat sungai yang terus menerus mengalir tanpa mampu disekat. Arus ini mampu dibenteng hanya dengan meletakkan Allah sebagai yang utama dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Keimanan yang utuh kepada Allah mampu melindungi diri dari terjebak dengan sebarang kebejatan sosial walaupun arus pemodenan terus meningkat.

Kesimpulannya, penyelesaian masalah gejala sosial ini tentu sahaja memerlukan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama menyelesaikannya. Semuanya bergantung kepada usaha dan peranan saya dan kalian yang menjadi pemimpin dan keahlian di mana-mana organisasi berlandaskan keimanan dan amalan yang kuat kepada Allah. Hakikatnya akar pokok yang sihat adalah akar pokok yang dibaja dan disiram mengikut keperluan dan mampu memberikan batang pokok yang punya daya tahan penyakit dan akhirnya menghasilkan daun dan buah yang ranum dan berguna buat makhluk lain.

TAJUK AKHBAR MUTAKHIR INI:

2.      Perlu akui hakikat

Friday 3 June 2011

I'm here with Sis Munirah's Notes

Assalamua'laikum.

Hari ini hari Sabtu bertarikh 2 Rejab 1432 H, bersamaan 4 Jun 2011.

Alhamdulillah, diizinkan Allah hari ini untuk saya mencuba dan membuat blog ini setelah sekian lama hati ini ingin membuat blog yang comel ini.

Kenapa berblog?
Tentu sahaja kerana Allah.

Pinta hati ini:
"Ya Allah, aku mohon restu, rahmatMu dan bimbinganMu agar aku menulis nota di sini kerana Kau Tuhan Yang Maha Pengasih. Ya Allah, aku mengharapkan semoga cebisan kecil Nota Sis Munirah ini berguna untuk diri sendiri dan masyarakat."

Saya mengharapkan redha Allah dalam setiap patah perkataan yang saya taip. Saya ingin nota saya bisa menjadi salah satu wasilah dakwah. Saya menyedari hakikat ramai penulis a.k.a pendakwah menggunakan method penulisan di mana-mana cawangan siber dan ada juga yang bermula dengan blog yang comel seperti ini, maka saya juga ingin mencuba!

Doa saya lagi: 
"Ya Allah, berikanlah hati dan jiwaku agar istiqamah dalam menguruskan nota ini."

Ya, semoga saya berterusan menulis nota di sini dan dapat berkongsi dengan teman-teman sekalian.

I'm starting...